Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud (kanan) menyampaikan bantuan bot fiber dan enjin bernilai RM5,000 daripada MUIP.

NELAYAN SUNGAI SYUKURI BANTUAN BOT DAN ENJIN DARI MUIP

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 14 MAC 2022 : Bantuan bot fiber dan enjin bernilai RM5,000 yang diterima daripada Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diterima penuh rasa syukur seorang nelayan sungai di Kampung Kuala Mentiga, di sini.

Bagi Encik Hairol Azman Mohd Yusof, penghargaan yang tinggi disembahkan kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang selaku Yang DiPertua MUIP yang prihatin dengan kesukaran hidup yang dilalui sekaligus membantu dia menambah pendapatan dan memudahkan kerja seharian.

“Alhamdulillah, saya terima bantuan bot dan enjin atas permohonan yang dibuat. Alhamdulillah MUIP luluskan permohonan saya dengan bantuan ketua kampung dan MUIP sendiri. Sebelum ini saya ke sungai mencari rezeki pakai bot lama, bot pun dah pecah dan saya hanya pakai pendayung untuk ke sungai.

Encik Hairol Azman Mohd Yusof menerima bantuan bot fiber dan enjin bernilai RM5,000 daripada MUIP.

“Dengan ada enjin dan bot baru ini InsyaAllah rezeki saya akan bertambah lah, memudahkan saya ke sungai untuk mencari rezeki. Sebelum ni saya mendayung jadi kawasan yang boleh pergi dekat-dekat je, jadi usaha mencari rezeki agak terhad.

Mendayung ni kita tahu perlu menggunakan kederat dengan cabaran arus laju, kadang hujan pun kita perlu dayung jugalah perlahan-lahan, selain keluar ke sungai waktu malam berhadapan cabaran bertembung dengan binatang berbisa seperti ular..memang sukarlah mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Sementara itu Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud yang hadir menyampaikan sumbangan bantuan berkenaan berharap agar ia dapat menguatkan usaha Encik Hairol Azman mencari rezeki untuk menampung keperluan perbelanjaan seharian keluarganya.

“Di kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pembayar zakat kerana adalah hero yang sebenarnya sehingga dapat membantu golongan asnaf terutamanya di daerah Pekan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download