Gambar hiasan

CATUAN TEBANGAN TAHUNAN PAHANG TIDAK MELEBIHI JUMLAH DITETAPKAN MTN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 10 MAC 2022 : Catuan Tebangan Tahunan (CTT) pembalakan di Pahang tidak melebihi jumlah yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN).

Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Datuk Ali Biju berkata rekod CTT berkenaan diperoleh berdasarkan rekod 2016 sehingga 2020.

Beliau berkata penetapan CTT berkenaan adalah berasaskan keupayaan pemulihan semulajadi kawasan yang diusaha hasil di mana setiap Kerajaan Negeri perlu mematuhi kadar yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.

“MTN Ke-71 yang bersidang pada 14 Disember 2015 telah bersetuju dengan penetapan CTT bagi negeri Pahang seluas 68,435 hektar.

“Berdasarkan rekod daripada tahun 2016 hingga 2020, hutan pengeluaran dalam hutan simpan kekal di negeri Pahang yang telah diusaha hasil dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) adalah seluas 58,075 hektar.

“Ini menunjukkan pengusaha hasilan di negeri Pahang tidak melebihi CTT yang telah ditetapkan iaitu pengurangan sebanyak 10,360 hektar daripada kadar CTT yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Datuk Mohd Anuar dalam pertanyaannya meminta menyatakan usaha kerajaan dalam mengawal pembalakan di Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lalu.

Datuk Ali berkata, bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pula, CTT yang telah ditetapkan oleh MTN Ke-77 pada 28 September 2020 di negeri Pahang adalah seluas 58,000 hektar dan pematuhan terhadap CTT dilaporkan dalam mesyuarat MTN.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tujuan pelesenan pembalakan di hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Bermilik, ianya tertakluk kepada pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2015) yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambahnya, jabatan-jabatan perhutanan negeri akan mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh JAS.

“Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara teratur, pelesen perlu menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH) sebelum lesen dikeluarkan.

“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016 iaitu ‘Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ sebagai rujukan utama Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds