PENGGUNAAN EJEN PELANCONGAN KE MOSSY FOREST BAGI TUJUAN KESELAMATAN
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 MAC 2022 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengeluarkan kenyataan berkenaan penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan bagi kemasukan ke Taman Eko-Rimba (TER) Mossy Forest adalah bagi tujuan keselamatan para pelancong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook JPNP berkenaan artikel The Rakyat Post pada 8 Mac lepas, pihak JPNP telah pun membuat pengumuman berkenaan pembukaan semua kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal di negeri ini bermula 7 Mac.
Berdasarkan makluman berkenaan, JPNP juga telah memaklumkan bahawa pengunjung yang ingin memasuki TER Mossy Forest wajib mendapatkan perkhidmatan ejen pelancongan di daerah Cameron Highlands.
Pemakluman ini adalah disebabkan oleh kejadian tanah runtuh di jalan masuk ke stesen VHF Gunung Brinchang yang merupakan jalan masuk ke TER Mossy Forest pada Disember lepas di mana ia berbahaya kepada kenderaan biasa dan pemandu yang tidak mahir di jalan berkenaan.
Selain itu, bagi keselamatan dan keselesaan pengunjung ke TER ini, hanya kenderaan lasak (4WD) sahaja yang boleh digunapakai untuk memasuki kawasan tersebut.
Faktor kawasan tempat letak kenderaan yang terhad di kawasan berkenaan juga menjadi salah satu faktor pengumuman yang dikeluarkan dan pihak JPNP menyarankan pengunjung mendapatkan perkhidmatan ejen bagi perkongsian kereta bagi tujuan kawalan trafik di kawasan berkenaan.
Harga bagi pakej yang ditawarkan oleh ejen pelancongan untuk ke TER Mossy Forest adalah berdasarkan harga pasaran dan juga permintaan semasa.
Pihak JPNP juga memaklumkan penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan ke kawasan tersebut juga adalah tindakan sementara sehingga jalan akses telah dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan selamat digunakan. – PAHANGMEDIA