PAHANG PROMOSI TEKNOLOGI HIJAU DAN SEKTOR TENAGA BARU

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 10 MAC 2022 : Kerajaan Pahang akan menyediakan beberapa loji jana kuasa solar di negeri ini sebagai usaha mempromosi teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, antara salah satu tenaga boleh diperbaharui terbesar di negeri ini ialah loji jana kuasa Biogas yang terletak di Bera Pahang.

“Tenaga boleh diperbaharui melalui Biogas dihasilkan daripada minyak kepala sawit dan penggunaan tenaga itu dapat membantu mengawal pengurusan sisa kilang serta mengurangkan penggunaan arang batu atau gas asli.

“Kita sedar kebaikan tenaga boleh diperbaharui ini dan ia sebenarnya turut akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan seperti perhotelan. Malah, amalan ini sebenarnya dapat mencipta laluan untuk persekitaran yang lebih lestari pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pelancongan Antarabangsa 2022 anjuran Tourism Pahang dengan kerjasama University College Of Yayasan Pahang (UCYP) bertemakan Pelancongan Hijau dan Strategi Kemampanan (Green Tourism and Sustainability Strategies) yang disertai beberapa negara seperti, India, Korea Selatan, Filipina, Pakistan dan Vietnam di platform Webinar, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kerjasama antara UCYP dan pihak Pelancongan Pahang dilihat mampu mencipta lebih banyak inisiatif yang menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, tema ‘Green Tourism and Sustainability Strategies’ yang diangkat amat sesuai dengan iklim semasa negara yang bakal membuka sempadan antarabangsa tidak lama lagi.

“Usaha yang melibatkan penceramah-penceramah dari negara lain ini menjadi platform untuk perkongsian serta percambahan idea bagi memantapkan sektor pelancongan negara masing-masing setelah semuanya terjejas sejak lebih dua tahun lalu.

“Di Pahang sendiri, cabaran tetap diharungi dengan meneruskan pendekatan bertema ‘This Is Pahang – Unlimited’ dengan mempromosikan kekayaan alam semulajadi serta pelbagai tempat dan tarikan menarik seperti kawasan tanah tinggi Genting Highlands, Cameron Highland, hutan hujan tertua di dunia, pulau, pantai serta gua-gua yang ada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, besar harapan agar acara pelancongan berasaskan alam sekitar yang tertangguh sebelum ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dihidupkan kembali.

“Antara acara yang telah diaturkan ialah Fraser’s Hill International Bird Race, Royal Pahang Billfish International Challenge, cabaran hutan hujan dengan memulakan pendakian di Pulau Tioman dan beberapa kawasan menarik di Pahang.

“Ini adalah antara inisiatif yang dilakukan bagi mempamerkan keindahan semula jadi kawasan di Pahang kepada pelancong. Kita harap inisiatif ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di Pahang selepas pembukaan sempadan negara bermula 1 April depan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds