Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 7 MAC 2022 : Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan KEMAS yang turut berfungsi sebagai peneraju dalam pendidikan masa hadapan anak bangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setiap warganya perlu menyematkan kesungguhan dalam mendidik anak bangsa agar mereka menjadi pejuang-pejuang yang cintakan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.
“Ianya bukan suatu perkara yang remeh malah perlu diberi perhatian serius yang memerlukan keyakinan, kesabaran dan kesungguhan kita semua.
“Usaha kita hari ini adalah untuk pastikan agar anak bangsa kita, anak cucu kita menjadi pejuang dan pembela agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Ukhwah Simpulan Kasih KEMAS Zon-3 Parlimen Pekan di sini.

Dalam pada itu, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan warga KEMAS Pekan dalam mendidik anak bangsa, beliau turut mengumumkan sumbangan Kerajaan Pahang sebanyak RM5,000 untuk KEMAS Zon-3 Pekan.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu KEMAS melaksanakan pelbagai aktiviti yang berkaitan sekaligus memantapkan lagi operasi KEMAS di daerah ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga KEMAS yang selama ini telah menabur jasa yang amat besar demi pembangunan pendidikan dalam negara kita.
Terima kasih tak terhingga juga kepada Pegawai KEMAS Daerah Pekan, Encik Hamidi Mad Piah bersama Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak Parlimen Pekan Zon-3/2, Puan Yusrini Md Yusof dan Puan Jinaida Dahalan serta semua warga KEMAS Pekan yang terlibat. -PAHANGMEDIA