Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 7 MAC 2022 : Seramai 570 usahawan tani telah berjaya dilatih menerusi Program Usahawan Tani yang melakukan projek penanaman menggunakan sistem fertigasi di bawah bimbingan Yayasan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi berkata, projek tersebut melibatkan sebanyak 110 lokasi daripada 11 daerah seluruh Pahang dan berjaya menghasilkan sebanyak 230,000 pokok cili bara menggunakan kaedah fertigasi pada tahun lalu.
“Penanaman berkonsepkan pembekalan baja/nutrien melalui sistem pengairan titis kepada zon akar tanaman ini berjaya menghasilkan kira-kira 120kg hingga 200kg cili bara sebulan yang dapat memberi pulangan sebanyak RM1,200 hingga RM2,000 kepada setiap peserta,” katanya.
Sebelum itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan lawatan ke Program Usahawan Tani berkenaan di pekarangan Masjid Tanjung Gahai di Lipis baru-baru ini.
Jelasnya, penanaman cili bara dipilih kerana ianya dapat mengeluarkan hasil seawal 10 minggu dan lada kacukan di antara cili kampung dengan cili Thailand ini turut mendapat permintaan yang tinggi.
Program ini memberi fokus kepada empat kategori iaitu kategori golongan asnaf, Orang Asli, miskin luar bandar dan miskin bandar serta golongan belia.
“Insiatif ini adalah selaras usaha kerajaan dalam mengurangi impak pandemik yang turut memberi kesan terhadap sektor pertanian,” katanya.
Projek yang dimulakan pada tahun 2021 itu telah mendapat kerjasama di antara Yayasan Pahang dengan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS).
Menerusi program ini, Yayasan Pahang menyediakan segala kelengkapan input tanaman, bimbingan dan juga pemasaran hasil tanaman. – PAHANGMEDIA