Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
HULU TERENGGANU, 7 MAC 2022 : Seramai 350 sukarelawan Misi Pasca Banjir Pahang ke Hulu Terengganu yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) bersemangat memberikan sumbangan dan kerjasama bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Hulu Terengganu.
Pengerusi PUSPANITA Pahang, Datin Sri Kamariah Mohamad berkata, semangat tersebut bukan sahaja dikongsikan di kalangan sukarelawan yang turun ke Terengganu tetapi juga pelbagai pihak yang turut memberikan sumbangan dan bantuan sebelum pasukan sukarelawan berangkat ke Hulu Terengganu.
“Sumbangan yang kita dapat, yang kita sampaikan kepada mereka yang terlibat ini merupakan sumbangan daripada ahli-ahli terutamanya yang saya dapat banyak barang daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sendiri.

“Kerana itu saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan kita harapkan dengan sedikit sumbangan yang kita dapa hulurkan kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir ini mendapat sedikit kelegaan pada masa ini dalam menjalani kehidupan mereka pada pasca banjir ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim turut berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Pahang yang berpeluang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Hulu Terengganu.
“Usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri ini, Tourism Pahang akan sentiasa turut serta dan ini menunjukkan bahawa Tourism Pahang juga sangat prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir khususnya di negeri jiran kita Terengganu yang turut sama membantu kita semasa Pahang dilanda banjir dulu,” katanya.
Manakala seorang sukarelawan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar berkata, program seumpama ini menunjukkan semangat kesukarelawanan dan silaturrahim di antara Pahang dan Terengganu untuk bergotong-royong membantu membersihkan kawasan terlibat banjir.
“Ini merupakan program yang baik di mana kita datang daripada Pahang ke Hulu Terengganu khususnya di Kampung Tok Bat ini, untuk membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Pada kejadian banjir pada 26 Februari hingga 5 Mac lalu, seramai 8,584 daripada 2,478 keluarga telah dipindahkan ke 48 Pusat Penempatan Sementara (PPS). – PAHANGMEDIA