Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
LIPIS, 7 MAC 2022 : Seorang ibu tunggal daripada Kampung Tempoyang, Lipis sangat bersyukur apabila kerajaan memberi sumbangan bagi membantu kos pengajian anak keduanya, Nur Syaza Musfirah Ahmad, 21, di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Kolej Poly-Tech MARA Bangi.

Puan Noredayu Awang, 45, berkata, kepayahan membesarkan dua anaknya selepas kematian suami lapan tahun lalu terbayar apabila anaknya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading namun kos pengajian yang tinggi sedikit membebankannya terutama perbelanjaan bulanan.
Justeru, sumbangan daripada Kerajaan Pahang ini sedikit sebanyak dapat menampung kos perbelanjaan bulanan bagi anak bongsunya itu.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kerana saya sebagai balu menguruskan anak sendirian hingga ke peringkat ijazah dan kos pengajian amat tinggi hampir RM60,000, jadi sumbangan ini dapat meringankan beban sedikit bagi kos bulanan dia,” katanya.

Sementara itu, Encik Bahayusri Jelah, 42, dari FELDA Sungai Koyan 1 pula hadir bagi menerima sumbangan bantuan kos rawatan isterinya, Puan Mazuha Abdullah, 42, yang baharu sahaja menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan serta menelan belanja agak tinggi baginya yang hanya bekerja sebagai pemandu lori sawit.
Dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan, jumlah gaji yang diterima hanya cukup untuk perbelanjaan dia dan keluarga setiap bulan.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, bersyukur Alhamdulillah kerana dapat membantu saya, saya pun dah letih kerana kerap berulang alik ke Jerantut dan Hospital Temerloh untuk rawatan, dan semua itu kos, tetapi bersyukurlah dapat cek sumbangan bantuan pada hari ini,” katanya.
Manakala seorang pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan, Khairol Izham Fahmi Khairol Kepli, 17, sangat gembira dan teruja untuk menerima biasiswa daripada Yayasan Pahang yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.

Jelasnya, dia telah menerima biasiswa Yayasan Pahang sejak menduduki tingkatan satu dan mengakui bahawa biasiswa ini sangat membantu pelajar yang tidak berkemampuan sepertinya.
“Bagi saya biasiswa ini dapat membantu daripada segi kewangan untuk mendapatkan barangan keperluan persekolahan, dan saya datang daripada keluarga yang susah, dengan ini dapat membantu saya membeli barangan keperluan sekolah seperti buku, baju sekolah dan ini sangat membantu,” katanya.
Kesemua penerima telah diberikan sumbangan bantuan oleh Kerajaan Pahang yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis, baru-baru ini.
Selain bantuan seumpama ini, Kerajaan Pahang turut melaksanakan pelbagai program seperti Pahang Pride Kid, Pahang Pride Student, Pahang Pride Kasih, Insentif Khas Pasangan Pengantin dan sebagainya sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap rakyatnya. – PAHANGMEDIA