Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 6 MAC 2022 : Johor mampu mencontohi situasi politik tenang di Pahang jika pengundinya memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau menyifatkan pentadbiran negeri Pahang adalah cukup efisien di mana tiada ugutan atau gangguan dalam pentadbiran kerajaan kerana keadaan kerajaan yang stabil dan mampu memberi keyakinan terhadap pelabur asing.
“Pengundi Johor perlu memilih BN pada PRN Johor ini bagi memastikan pentadbiran kerajaan tidak ada gangguan dari mana-mana pihak lain demi kelestarian rakyat Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis santai calon DUN Pemanis, Encik Anuar Manap bersama masyarakat di Felda Pemanis 2 di Segamat malam tadi.
Sementara itu pada majlis sama, beliau turut memuji usaha Pengerusi FELDA, YB. Dato’ Seri Haji Idris Jusoh di atas usaha beliau teruatamanya dalam membantu dalam penghapusan hutang peneroka Felda.
“YB. Dato’ Seri Haji Idris juga adalah individu yang terus membantu untuk menyelesaikan isu PGBF di Felda.
” Untuk selesaikan (masalah Felda) sekaligus tidak mungkin dan beliau telah berhempas pulas membantu masyarakat Felda dalam usaha menghapuskan hutang peneroka, saya boleh katakan disini penyelesaian isu Felda adalah atas daya usaha Dato’ Seri Idris Jusoh dan bukan orang lain” katanya. -PAHANGMEDIA