Gambar fail

40,150 ORANG KANAK-KANAK LENGKAP VAKSIN DI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 6 MAC 2022 : Seramai 40,150 orang kanak-kanak dengan liputan sebanyak 20.8 peratus daripada keseluruhan sasaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini sudah menerima dos lengkap sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Cameron Highlands mempunyai liputan tertinggi iaitu sebanyak 38.2 peratus dalam Pahang.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus

“Enam lagi daerah mencatatkan liputan antara 20 hingga 30 peratus lengkap vaksin iaitu Bera (27.2 peratus), Raub (25.3 peratus), Bentong (25.2 peratus), Kuantan (24.1 peratus), Temerloh (22.5 peratus) dan Jerantut (21.1) peratus.

“PICKids Pahang mensasaran seramai 192,600 orang kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun menerima dos lengkap vaksin.
“Sebanyak 133 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi PICKids disediakan di negeri ini selain 18 buah Pasukan Outreach Sekolah yang menjalankan suntikan kepada 122 buah sekolah secara jangkau luar. Kapasiti bagi semua PPV dan Pasukan Outreach Sekolah ini ialah sebanyak 5,075 suntikan sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, terdapat 6 buah PPV yang memberikan suntikan secara walk in pada ketika ini, iaitu di Dewan Eng Choon Kuantan, UNIKlinik Indera Mahkota 2 Kuantan, Dewan Jubli Perak Raub, Dewan Kuala Rompin, Dewan Tun Razak Temerloh dan Pusat Latihan Kesihatan Mentakab, Temerloh.

Dalam pada itu beliau berharap agar lebih ramai ibu bapa yang memberi kebenaran bagi proses vaksinasi anak masing-masing bagi mencegah komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 sehingga membawa kematian. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download