Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
RAUB, 03 MAC 2022 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam proses membina satu laluan paip spesifik bernilai hampir RM12 juta yang akan menyalurkan air dari Loji Rawatan Air Keloi ke kawasan sekitar Ulu Atok.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata laluan paip baharu berkenaan adalah kira-kira 34 kilometer yang dijangka selesai dalam tempoh setahun.
“Laluan paip ini secara konsepnya adalah bagi pakej 1 adalah daripada Loji Rawatan Air (LRA) Kloi ke tangki air Chendera sepanjang 6.4 kilometer yang kini telah ditender dan dalam proses lantikan kontraktor.
“Bagi pakej 2 melibatkan pemasangan paip utama dari tangki air Chendera ke Pekan Dong sepanjang 5 kilometer.
“Dan bagi pakej 3, pemasangan paip utama ini adalah dari tangki air Rokam ke Kampung Ulu Atok sepanjang 13.3 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Program CSR Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur dengan Kerjasama PAIP Bersama-sama Masyarakat Kampung Ulu Atok di Balairaya Kampung Ulu Atok di sini.
Hadir sama, Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Pahang, Encik Fadzli Mohamed Kamal.
Menurut beliau saluran baharu ini juga akan meningkatkan kapasiti penyaluran dan tekanan air di Kampung Ulu Atok, Kuala Atok, Jeram Besu dan Batu Buaya.
“Di samping itu juga masalah bekalan air di Sega Tat dan Sega Lama juga dapat diatasi dengan pengasingan sumber tangki dapat dilaksanakan, selain paras air dan tekanan Tangki Air Chendera dan Sungai Rokam yang berada disepanjang jajaran tersebut juga dapat distabilkan,” katanya.

Beliau berkata PAIP juga memperuntukan sebanyak RM87 juta pada tahun ini bagi projek menaiktaraf dan menyelesaikan masalah air di seluruh negeri ini.
“Peruntukan ini adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah setempat yang mana seperti Kampung Ulu Atok ini yang mengalami putus bekalan air.
“Dan ini merupakan kampung pertama, dan kita ada lebih kurang 11 kawasan lagi di seluruh negeri ini yang akan kita pergi jumpa yang kita tengok berdasarkan keperluan dan masalah yang dihadapi.
“Kita cuba nak selesaikan satu persatu masalah yang ada dan kita nak ia (penyelesaian) itu jadi dengan pertemuan dan sesi dialog bersama penduduk setempat,” katanya.

Menurut Encik Fadzli, pertemuan ini adalah satu langkah proaktif oleh pihak PAIP yang mana ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
“Ia merupakan langkah yang berani, konsisten daripada CEO PAIP sendiri yang turun sendiri ke kawasan Raub sendiri yang mana Raub merupakan kawasan yang teruk dalam soal bekalan air bersih.
“Dan semua peruntukan yang dikeluarkan PAIP ini adalah daripada hasil PAIP sendiri yang mana ia telah menunjukkan pengukuhan kewangan dalaman Paip. Dan ini membuktikan apa yang beliau (CEO PAIP) sering kata iaitu pengukuhan kewangan ini PAIP akan dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya.
Dalam majlis sama, Kerajaan Pahang telah menyampaikan kit sumbangan Pahang Pride Student kepada 40 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di Kampung Ulu Atok, manakala PAIP menyampaikan baucer bernilai RM150 kepada setiap pelajar terlibat. -PAHANGMEDIA