Oleh : Fairus Mohd
TEMERLOH, 3 MAC 2022 : Terkandas di negara asing dalam keadaan ditimpa ujian sakit dan menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan selama 36 hari menjadi satu peristiwa yang mungkin tidak dilupakan oleh Encik Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50.
Saat ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas tiba di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini awal pagi tadi, beliau kelihatan ceria disapa walaupun kini sedang menyambung proses rawatannya di sini.
Walaupun agak sukar untuk melontar kata-kata, namun beliau bersemangat menyampaikan rasa penghargaan tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang yang membantu dan merealisasikan impiannya untuk kembali ke tanah air.
“Saya rasa seronok..alhamdulillah, doa rakyat Malaysia kepada saya (sehingga) boleh balik. Saya (nak) berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Exco-exco Negeri Pahang, Adun (Pulau Tawar) Jerantut, UMNO yang membantu sehingga saya boleh balik (Malaysia). Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Dalam pada itu sepupu Kamarulzaman yang menjaganya sepanjang berada di Korea dan di sini, Saloha Adlan, 27, turut sempat berkongsi pengalaman selama 36 hari sepupunya menerima rawatan di Korea.
“Di Korea semua hospital swasta dan bil rawatan sangat tinggi, jadi caranya ialah meminta bantuan rakan-rakan yang mengenai atau dapat berhubung dengan media-media di tanah air selain hantar surat kepada dan ahli keluarga juga bertemu dengan ahli-ahli politik seperti Ahli Dewan Negeri (ADN) setempat untuk meminta bantuan.
“Pihak kami menerima bantuan awal daripada Menteri Besar Pahang sebanyak RM10,000 untuk anak sulung (Kamarulzaman) pergi ke Korea, tapi saya dah ada kat sana dan ketika itu wabak COVID-19 sedang teruk, jadi bantuan berkenaan kita kumpul untuk misi pulang ke Malaysia,” katanya.
Menurutnya, ketika itu Kamarulzaman sedar dari koma dan menunjukkan perkembangan yang bagus sebelum doktor di sana mencadangkan agar usaha membawa pulang Kamarulzaman disegerakan kerana bimbang berlakunya sebarang jangkitan jika lambat dan bil rawatan terus meningkat.

“Saya sebagai wakil dia (Kamarulzaman) dan keluarga mengucapkan terima kasih banyak-banyak..dari hari pertama kejadian sampailah boleh bawa balik Malaysia semalam, kami memang amat berterima kasih atas dana, sokongan dan perhatian yang tak pernah jemu terutamanya daripada Menteri Besar Pahang, Kementerian, Kedutaan Malaysia dan Korea, Exco-exco Negeri Pahang dan semua yang membantu.
“Sehingga saat kami tiba awal pagi tadi pun ramai YB yang telefon untuk bertanya keadaan terkini. Terima kasih kepada semua yang cakna dengan dugaan yang dihadapi kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Am HOSHAS, Dr See Chee Keong berkata, keadaan Kamarulzaman sangat baik dan rawatan sokongan akan diberikan sepanjang beliau berada di HOSHAS.
“Pesakit iaitu Encik Kamarulzaman masuk wad pada jam 4 pagi tadi dan keadaan dia stabil, tak memerlukan bantuan pernafasan, tak perlukan oksigen untuk rawatan dan tak perlu apa-apa drip.
“Tapi dia perlukan Ryles Tube Feeding dan kita akan cuba tanggalkan (tube) secara berperingkat dan itulah masalah yang utama untuk beliau setakat ini.
“Selain itu tiada masalah jangkitan kuman, tekanan darah pun stabil. Saya rasa respon kepada rawatan perubatan yang diterima dari Korea pun baik dan bila sampai di sini (HOSHAS), kita hanya perlu bagi sokongan apa yang perlu lah sebelum beliau dibenarkan pulang.
“Saya anggar dalam jangka masa lima hari beliau boleh dibenarkan pulang jika tiada sebarang masalah lain yang timbul ketika menerima rawatan di wad ini,” katanya. -PAHANGMEDIA