Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 6 APRIL 2020: Keputusan sama ada bazar Ramadan di negeri ini ditutup atau tidak berikutan penularan wabak COVID-19 akan diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO), Rabu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, YB Encik Abd Rahim Muda berkata, Kerajaan Negeri masih meneliti sama ada untuk membuka atau menutup bazar Ramadan di negeri ini.

“InsyaAllah hari Rabu ini Mesyuarat EXCO Negeri akan memutuskan sama ada menutup atau membuat bazar Ramadan. Namun kita lihat negeri-negeri lain tidak membenarkan bazar Ramadan.
“Namun jika bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka, beberapa alternatif lain akan dilaksanakan bagi membantu peniaga untuk mendapatkan pendapatan pada bulan Ramadan seperti kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Kuantan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kira-kira 99 peratus pengunjung dan peniaga di Pasar Besar Kuantan mengikuti arahan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Antara syarat dan arahan yang ditetapkan adalah pasar hanya dibuka bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut serta dihadkan hanya 30 orang yang masuk pada satu-satu masa.

“Setakat ini dari pemantauan dibuat, kawalan yang dibuat oleh MPK ini sangat bagus kerana dapat mengawal penjarakan sosial antara pembeli dan penjual,” katanya.
Katanya lagi, pengunjung yang datang juga perlu membasuh tangan sebelum masuk dan selepas keluar daripada pasar untuk memastikan kebersihan dapat dijaga. – PAHANGMEDIA