Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 1 MAC 2022 : Kerajaan Pahang terus prihatin dengan keperluan pendidikan pelajar di negeri ini terutamanya mereka yang berada dalam golongan kurang berkemampuan melalui inisiatif biasiswa yang diwujudkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, ia merupakan satu usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak ini menerima pendidikan yang baik dan sempurna.
“Pemberian biasiswa melalui Yayasan Pahang ini merupakan hasil kewangan stabil Kerajaan Negeri yang kembali dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan khususnya bagi membantu para pelajar di seluruh negeri ini.
“Saya berharap ia dapat meringankan beban dan digunakan sebaik-baiknya untuk manafaat pembelajaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Biasiswa Yayasan Pahang Sekolah Rendah Dan Menengah Peringkat Dewan Negeri (DN) Kuala Sentul di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 3, hari ini.
Turut hadir Pengurus Capaian Pendidikan Yayasan Pahang, Puan Nor Azean Osman; wakil Pegawai Daerah Maran, Encik Muhamad Pikri Zuhaipi; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Encik Azli Hamid dan Penghulu Mukim Jengka/Kuala Sentul,Tuan Haji Rashdan Wan Muhamad.
Seramai 493 orang penerima Biasiswa Sekolah Rendah melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM147,900 dan seramai 387 orang penerima Biasiswa Sekolah Menengah dengan jumlah sebanyak RM116,100. -PAHANGMEDIA