Encik Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50, yang kini menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.

KERAJAAN NEGERI PAHANG TANGGUNG KOS RAWATAN, BAWA PULANG KAMARULZAMAN

Oleh: Fairus Mohd

JERANTUT, 1 MAC 2022 : Kerajaan Negeri Pahang menyumbang sebanyak RM30,000 untuk membawa pulang serta menampung bayaran tunggakan rawatan rakyat Malaysia, Encik Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, Kerajaan Negeri bersimpati dengan nasib yang menimpa lelaki berkenaan dan berjanji akan menyelesaikan dilema keluarganya yang mahu membawa dia pulang segera ke tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang YB. Dato’ Haji Nazri bin Ngah

“Bantuan berkenaan juga berikutan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak memohon sumbangan kepada kerajaan negeri untuk membawa pulang Kamarulzaman dengan segera dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh. Kerajaan Negeri bersetuju, dua kali YAB Menteri Besar Pahang berhubung dengan saya untuk berunding bersama keluarga serta menyampaikan rasa simpati dan sumbangan sebanyak RM30,000.

“Pada minggu lalu (30 Januari) Kerajaan Negeri telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menampung bayaran bil hospital ketika dia mula menerima rawatan dalam tempoh 10 hari di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi JPKK Damak, Encik Yahya Hassan bagi memaklumkan keadaan Kamarulzaman di Korea Selatan di Kampung Mat Kilau di sini hari ini.

Turut hadir, sepupu Kamarulzaman, Puan Noriza Yaakob serta Setiausaha JPKK Damak, Encik Zulkifli Mamud.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Nazri yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wisma Putra, Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Korea Selatan di Seoul yang memberikan kerjasama membantu untuk memudahkan Kamarulzaman dibawa pulang dengan diiringi sepupunya nanti ke tanah air.

Beliau berkata, Kamarulzaman yang berasal daripada Kampung Damak di sini akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.20 malam, esok dengan penerbangan Korean Air selepas mendapat kelulusan daripada pihak kedutaan di sana.

“Segalanya sudah siap diatur apabila tiba di KLIA nanti, Kamarulzaman terus dibawa ke HOSHAS di Temerloh dengan ambulans untuk menyambung rawatan penyakit strok yang dihadapinya ketika berada di Korea Selatan,” katanya.

Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di Korea Selatan koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya.

Dia kemudiannya dirawat selama 35 hari sehingga kini termasuk 23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju negara tersebut dan disahkan hampir pulih beberapa hari lalu bagi membolehkan dia pulang ke negara ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download