YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB. Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Kerajaan Negeri Pahang yang diwakili YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak dengan TNB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg Datuk Ir. Baharin Din pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai di Kuala Lumpur, malam tadi.

PAHANG TANDATANGAN MoA BERSAMA TNB BANGUNKAN PROJEK SKIM
HIDROELEKTRIK ULU JELAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 1 MAC 2022 : Kerajaan Pahang menandatangani perjanjian (MoA) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membangunkan Projek Skim Hidroelektrik Ulu Jelai di Cameron Highlands.

MoA ini ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan disaksikan oleh YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin mewakili Kerajaan Negeri Pahang, manakala TNB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Datuk Ir. Baharin Din dan disaksikan oleh Setiausaha Syarikat TNB, Puan Norazni Mohd Isa.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, YBhg Datuk Ir. Baharin Din sambil disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai di Kuala Lumpur, malam tadi.

Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB. Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Hadir sama Pengerusi TNB, YB Dato’ Sri Hasan Arifin; dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapan aluan berkata perjanjian yang dimeterai membolehkan Kerajaan Pahang memperoleh pendapatan melalui penggunaan sumber air bagi penjanaan tenaga elektrik serta memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan Ulu Jelai terus terpelihara.

“Saya amat berharap kedua-dua pihak iaitu TNB dan Kerajaan Negeri Pahang dapat mematuhi persetujuan bersama dalam memastikan projek empangan ini memberi manfaat kepada kawasan setempat termasuk dari segi bekalan air mentah, kawalan tebatan banjir dan sistem pengairan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai di Kuala Lumpur malam tadi.


 
“Sesungguhnya, usaha bersepadu daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan aspek pengurusan dan pemuliharaan di kawasan tadahan sentiasa dititik berat dan diberi keutamaan, demi kepentingan generasi akan datang.
 
“Berhubung perkara ini, terdapat peruntukan khas dalam perjanjian ini yang bertujuan memastikan kedua-dua pihak menjaga kawasan tadahan dengan baik bagi mengurangkan hakisan dan pemendapan sepanjang skim hidrolektrik ini beroperasi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlulah berusaha mengambil langkah yang proaktif bagi mengelakkan sebarang kegiatan atau penggunaan tanah di kawasan tadahan di kawasan hulu yang boleh mengakibatkan hakisan tanah dan pemendapan atau apa jua yang boleh menjejaskan pendapatan ekonomi daripada pembangunan projek ini.

“Jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di sepanjang skim hidroelektrik ini, maka tindakan segera perlu diambil.
 
“Justeru, Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan, serta Jawatankuasa Penasihat untuk Stesen Janakuasa Ulu Jelai hendaklah sentiasa peka serta mengurus dan memulihara kawasan tadahan ini dengan sebaik-baiknya.


 
“Bak kata pepatah lama, berkayuh sambil bertimba, begitulah aspirasi Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek ini, dua dalam satu, empangan baru kita bina, alam sekitar kita jaga,” katanya.

Beliau berharap projek ini dapat memperkukuh potensi pertumbuhan ekonomi di sebelah barat daya negeri melalui laluan ke Cameron Highlands yang menghubungkan Ringlet ke Sungai Koyan.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Hasan dan YB Datuk Seri Takiyuddin yang sentiasa cakna dan memberi perhatian khas terhadap pelaksanaan projek ini serta inisiatif membantu rundingan kedua-dua pihak terlibat. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download