Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi
PEKAN, 27 FEBRUARI 2022 : Tiada tugas yang lebih penting bagi seorang peneroka di Felda Chini 3 selain menguruskan isteri yang terlantar sakit dan anak sulungnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sejak lahir.
Setiap hari Encik Hazizan Jabar Ali, 65, akan menguruskan isterinya, Puan Maimunah Mohamad, 61, yang terlantar sejak empat tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Saya ada empat orang anak (seorang telah meninggal dunia) dan anak sulung saya, Rozana, 40, adalah seorang OKU yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Saya tidak keseorangan kerana anak ketiga, Mohd Rafendi, 33, banyak membantu saya menguruskan kedua-dua insan yang kami sayang ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di kediamannya.
Menurutnya lagi, kehidupan mereka sekeluarga bergantung pada hasil ladang sawit dan dia sendiri tidak dapat bekerja seperti dulu selepas isterinya jatuh sakit.
“Saya hanya duduk di rumah untuk menguruskan isteri dan anak, tak boleh kerja macam dulu dah sebab kedua-duanya memerlukan perhatian dan penjagaan.
“Memang sukar, tapi ini adalah amanah yang harus says jaga.. Jauh di sudut hati sudah pasti saya mahu isteri kembali sembuh. Saya reda dengan ujian yang Allah SWT berikan kepada saya dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Hazizan turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Mohd Sharim Md Zain yang hadir menziarahi dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga. – PAHANGMEDIA