Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2022 : Pendaftaran kanak-kanak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) Pahang menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Menteri Kesihatan, YB. Dato Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sehingga 23 Februari, seramai 46,993 atau 24.4 peratus orang kanak-kanak telah berdaftar sebagai dependant dalam MySejahtera di negeri ini bagi mendapatkan temujanji suntikan.
“PICKids Pahang mensasaran seramai 192,600 orang kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun menerima dos lengkap vaksin. Sehingga semalam, seramai 31,485 orang kanak-kanak atau 16.3 peratus telah menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Sebanyak 133 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi PICKids disediakan di negeri ini selain 18 buah Pasukan Outreach Sekolah yang menjalankan suntikan kepada 122 buah sekolah secara jangkau luar. Kapasiti bagi semua PPV dan Pasukan Outreach Sekolah ini ialah sebanyak 5,075 suntikan sehari,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Dalam pada itu beliau berharap agar lebih ramai ibu bapa yang memberi kebenaran bagi proses vaksinasi anak masing-masing bagi mencegah komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 sehingga membawa kematian.
Katanya lagi, ibu bapa yang membawa anak mendapatkan vaksin dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) perlu yakin dengan ikhtiar yang dilakukan. -PAHANGMEDIA