Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel (kiri) bersama pemain pasukan, yang memperagakan jersi baharu pasukan Sri Pahang FC yang akan digunakan untuk saingan pada tahun 2022

SRI PAHANG FC LANCAR JERSI BAHARU MUSIM 2022

Oleh : Shahrinnahar Latib
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 25 FEBRUARI 2022 : Sri Pahang FC hari ini melancarkan jersi baharu membabitkan aksi di laman sendiri dan tempat lawan bagi saingan musim 2022 menjelang sepak mula Liga Super 5 Mac ini.

Bagi musim ini, pasukan Tok Gajah berkerjasama dengan syarikat pembekal peralatan sukan , Hakka Clo dengan mengekalkan warna tradisi iaitu kuning sebagai warna rasmi jersi tuan rumah.

Bagaimanapun, jersi Sri Pahang FC bagi aksi di tempat lawan pada musim ini menampilkan kelainan dengan pemilihan warna merah jambu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, YH Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, selain itu, jersi kali ini juga membawa imej dan perlambangan Kerajaan Negeri Pahang iaitu ‘Visit Pahang’ dan ‘Invest Pahang’.

“Ini adalah bagi membantu mempromosikan pelancongan di Pahang dan menarik pelabur untuk melabur di Negeri Pahang.

“Perlambangan ini akan diletakkan di jersi sepanjang musim Piala Malaysia ini berlangsung. Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang yang selama ini banyak membantu skuad Tok Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jersi Sri Pahang FC Musim 2022 di Zenith Hotel di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel (tengah) bersama pemain pasukan, yang memperagakan jersi baharu pasukan Sri Pahang FC yang akan digunakan untuk saingan pada tahun 2022

Sehubungan itu, beliau berkata, Sri Pahang FC mensasarkan kedudukan lima teratas dalam Liga Super Malaysia yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

Beliau berkata, sasaran itu diletakkan kerana pemain-pemain sedang menyesuaikan diri dengan pasukan.

Sri Pahang FC bakal bertemu Terengganu di laman sendiri pada 5 Mac depan bagi perlawanan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur dalam saingan Liga Super. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download