Sangkar ikan di Temerloh. - Gambar Hiasan

PROGRAM PEMUTIHAN SANGKAR IKAN SUNGAI PAHANG, SUNGAI SEMANTAN DI TEMERLOH

KUANTAN, 25 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang bersetuju melaksanakan program pemutihan membabitkan semua sangkar-sangkar ikan yang terdapat di Sungai Pahang dan Sungai Semantan di Temerloh.

Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar , Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, ia bagi memastikan tiada lagi sangkar-sangkar ikan haram dan tidak berdaftar di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.

“Tujuan program ini dilaksanakan untuk Kerajaan Negeri mengenal pasti pemilik sangkar-sangkar ikan sekali gus dapat mengetahui jumlah sangkar sebenar di Sungai Pahang dan Semantan.

“Proses pemutihan ini juga akan memudahkan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan kepada setiap pemilik sangkar ikan sekiranya berlakunya musibah seperti bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk menambah jumlah sangkar di sungai terbabit dan ia memudahkan proses itu jika setiap pemilik-pemilik sangkar dikenal pasti.

“Menerusi program pemutihan ini, Kerajaan Negeri akan mempermudahkan proses dan urusan bagi mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pemilik untuk mendaftarkan setiap sangkar ikan yang dimiliki mereka.

“Apa berlaku sebelum ini, pemilik TOL hanya seorang tetapi berkongsi TOL yang sama mungkin kerana prosesnya waktu itu memakan masa agak lama, tapi menerusi program pemutihan kali ini, ia akan dipermudahkan dan dipercepatkan,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, proses pemutihan ini perlu dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai unjuran tersendiri kerana mahu menjadikan Sungai Pahang dan Sungai Semantan sebagai hab ikan patin di negeri ini.

“Ia akan dilaksanakan secara lebih sistematik, kajian akan dilaksanakan selepas ini antara pihak persatuan ikan patin dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan juga pihak universiti untuk kita menjadikan perusahaan ikan sangkar ini bidang yang menguntungkan.

“Jadi, penting untuk Kerajaan Negeri melaksanakan program pemutihan terbabit supaya kita mempunyai inventori berhubung sangkar-sangkar ikan di Sungai Pahang dan Sungai Semantan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download