Oleh : Fairus Mohd
Foto: Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
KUANTAN, 25 FEBRUARI 2022 :Seramai 710,000 orang kanak-kanak yang layak sudah menerima suntikan vaksin dos pertama mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, YB Dato’ Haji Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, negeri Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima suntikan vaksin tertinggi, manakala Sabah, Terengganu dan Kelantan pula masih merekodkan jumlah terendah kanak-kanak menerima suntikan vaksin.
“Masalah jumlah masih rendah dicatatkan berpunca daripada sikap ibu bapa, mereka masih bersikap tunggu dan lihat serta bimbang dengan kesan sampingan.
“Kita harap mereka (ibu bapa) mendapatkan maklumat tepat dan tidak terlalu mendengar atau mempercayai khabar angin, dapatkan khidmat nasihat daripada pakar supaya kita menerima maklumat yang betul dan tidak mengelirukan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Dalam pada itu, menyentuh berkenaan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dilancarkan pada 3 Februari lalu, Dr Nor Azmi berkata, hanya 58 kes dilaporkan melalui MySejahtera kerana mempunyai kesan sampingan selepas menerima suntikan.
“Daripada jumlah itu, 57 kes membabitkan gejala ringan manakala satu lagi kes dikategorikan serius, itu pun kerana kepenatan kerana kanak-kanak berkenaan mempunyai sejarah menghidap asthma dan sudah banyak kali masuk hospital sebelum menerima vaksin.
“Rawatan juga sudah diberikan kepada kanak-kanak itu dan kes berkenaan sudah pulih,” katanya. – PAHANGMEDIA