Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika memantau keadaan sebuah menara telekomunikasi di Pekan.

PLATFORM LEBIH TINGGI DIBINA UNTUK KOTAK SUIS UTAMA MENARA DI KAWASAN BANJIR

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 22 FEBRUARI 2022 : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta syarikat telco untuk segera membina platform yang lebih tinggi untuk menempatkan peralatan elektronik dan kotak suis utama menara komunikasi di kawasan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ketika musibah banjir yang melanda Negeri Pahang bermula hujung tahun lalu sehingga awal tahun ini, sebanyak 571 menara telekomunikasi di seluruh negeri ini telah terjejas.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 18 menara dikenalpasti telah ditenggelami banjir lebih tiga meter hingga kotak suis utama sumber tenaga dan peralatan elektrik pada menara tersebut juga mengalami kerosakan total.

“Justeru dengan pembinaan platform ini nanti, semua peralatan elektronik dan kotak suis utama di 18 menara yang terlibat banjir itu tidak lagi ditenggelami air maka sistem komunikasi juga tidak akan terputus,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sistem komunikasi di kawasan yang dilanda banjir perlu konsisten agar penduduk terperangkap banjir dapat terus berhubung bagi mendapatkan bantuan.

“Semua usaha ini sedang dilaksanakan dan syarikat Telco yang terlibat memberi jaminan bahawa usaha membina platform lebih tinggi dan dijangka siap selewat-lewatnya pada Oktober 2022 atau sebelum tibanya musim tengkujuh nanti,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download