Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 20 FEBRUARI 2022 : Jalan Lepar Utara kini sedang dibaikpulih sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa jalan berkenaan tidak diberi perhatian dan sebarang tindakan sejak setahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dalam hantaran di laman Facebook rasminya menjelaskan bahawa jalan berkenaan kini sedang dibaikpulih.
“Jalan Lepar Utara ni adalah jalan utama yang digunakan penduduk Lepar Utara. Ia telah runtuh dan rosak teruk akibat banjir yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan beberapa hari ketika bencana itu berlaku dan penduduk terpaksa melalui jalan alternatif yang dibuat sendiri oleh mereka.
“Setelah beberapa siri lawatan dan perbincangan yang diusahakan, saya amat bersyukur apabila kerajaan persekutuan melalui JKR telah meluluskan dua jenis pembaikan di lokasi ini iaitu kerja-kerja pembaikan pembentung dan kerja-kerja pembaikan cerun,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha baik pulih yang dilakukanYB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata bagi pembaikan cerun, kerja-kerja rekabentuk telah siap dilaksanakan.
“Kontraktor dijangka akan memulakan kerja di tapak pada 21 Februari 2022 dan kerja dijangka siap pada 19 Julai 2022.
“Manakala bagi pembaikan pembentung, kerja-kerja pembersihan pada inlet culvert pula telah bermula pada 12 Februari 2022 manakala kerja-kerja pembaikan culvert dijangka dapat dilaksanakan pada 14 Mac 2022 setelah kerja pembersihan selesai dan dijangka siap pada 30 April 2022,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keselamatan dan keselesaan pengguna jalan berkenaan terutamanya penduduk Lepar Utara sentiasa dijaga dan terjamin.
“Saya akan mengemaskini perkembangan semasa keadaan jalan ini dan berharap masyarakat setempat bersama-sama membantu saya memantau perlaksanaan projek ini. Segera maklum kepada saya jika ada yang tidak mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya mohon anda semua sentiasa berhati-hati semasa kerja-kerja pembinaan sedang berjalan ok. Keselamatan dan keselesaan anda semua adalah keutamaan saya.” katanya. -PAHANGMEDIA