Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Santhara J.P (tiga dari kanan) ketika merasmikan penjenamaan semua Kuantan 188 yang juga menara kedua tertinggi di Malaysia, hari ini.

KUANTAN 188 PIKAT PELANCONG KE NEGERI PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan

KUANTAN, 20 FEBRUARI 2022 : Pahang sememangnya terkenal dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik dan terkini, Kuantan 188 menjadi tumpuan utama.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Santhara J.P berkata, sebelum ini mungkin tumpuan pelancongan di negeri ini terutamanya di Kuantan adalah kawasan-kawasan pantainya yang indah.

“Kini kita ada ikon baru iaitu menara (Kuantan 188) ini yang begitu unik kerana terletak sebelah sungai. Norma pelancong ke sesuatu tempat pasti mahu melihat pemandangan yang menarik. Saya yakin Pahang boleh pasarkan produk ini dengan baik apatah lagi ikon pelancongan ini lain sikit daripada biasa kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Pada tahun 2019 saya dimaklumkan Pahang menerima 14 juta orang pelancong dalam tempoh setahun, jadi saya yakin produk ini akan menjadi lokasi penting dalam merancakkan sektor pelancongan di negeri ini dengan menjangkakan seramai 350,000 orang pelancong akan menaiki menara ini menjelang akhir 2022,” katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Santhara J.P.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kuantan 188 yang juga menara kedua tertinggi di Malaysia, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Presiden Kumpulan Hospitality 360, Dato’ Indera Omar Naresh Mohan; Pengarah Urusan Kuantan 188, Dato’ Zulkifli Mohamad serta Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Kuantan 188 melancarkan logo baharu dan menerima sijil sebagai ahli rasmi World Federation of Great Towers.

Sementara itu, dalam sidang media sama Pengarah Urusan Kuantan 188, Dato’ Zulkifli Mohamad berkata, kewujudan menara tersebut turut membuka peluang kepada usahawan di sekitar negeri ini.

“Sebahagian kawasan laman Teruntum adalah di bawah pihak pengurusan Kuantan 188, jadi kita mempelawa usahawan untuk buat acara atau berniaga di kawasan sekitar.

“Lot-lot kedai yang ada boleh diusahakan mereka malah ada yang turut mahu mempopularkan masakan warisan negeri Pahang dengan berniaga di sini. Kami sentiasa mengalu-alukan mereka yang berminat untuk turut sama memeriahkan persekitaran Kuantan 188,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download