93 PENTERNAK TERJEJAS BANJIR DI PAHANG TERIMA BANTUAN RM1.187 JUTA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 17 FEBRUARI 2022 : Seramai 93 penternak yang terjejas banjir di Pahang menerima bantuan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2, YB. Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh berkata, bantuan tersebut diberikan sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian yang dialami oleh penternak akibat banjir.

“Bantuan ini secara umum macam-macam yang diberikan mengikut keperluan seperti binatang ternakan, pembaikan kerosakan, bantuan makanan dan vitamin kepada binatang ternakan.

“Kesemua bantuan yang diberikan ini adalah bertujuan membantu memulihkan semula perusahaan penternakan yang terjejas banjir sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian yang dialami bagi membolehlan mereka bangun semula untuk memulakan perusahaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan rasmi ke ladang penternak terlibat bencana banjir 2021 di Kampung Pandan 2, di Kuantan, pagi tadi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2, YB. Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh ketika melakukan lawatan rasmi ke ladang penternak terlibat bencana banjir 2021 di Kampung Pandan 2, di Kuantan, pagi tadi

Pada majlis itu, para penternak turut diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan dan bantuan insentif oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi turut meminta agar mana-mana penternak yang masih belum mendaftar dengan Jabatan Veterinar supaya dapat berbuat demikian bagi memudahkan sebarang bantuan dan perkhidmatan percuma dapat disalurkan kepada penternak.

“Kerajaan berhasrat untuk memberikan bantuan kepada semua yang terlibat tetapi kumpulan yang tidak berdaftar ini mendatangkan masalah kepada diri mereka yang pihak kerajaan untuk kita kesan sebab bila tidak mendaftar, kita tidak tahu berapa jumlah kerugian.

“Saya minta usahawan-usahawan di dalam bidang penternakan ini supaya berdaftar dengan jabatan veterinar supaya jumlah kerugian dapat dianggar dan bantuan dapat disalurkan kepad mereka”, katanya.

Selain Pahang, terdapat lapan negeri lain yang turut menerima bantuan di bawah PPSPA iaitu Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan membabitkan seramai 455 penternak dengan jumlah bantuan RM5.6 juta. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds