Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada Puan Roziah Ahmad, 52, di Pekan hari ini.
BANTUAN KERAJAAN NEGERI UBATI KESEDIHAN, KESUKARAN HIDUP
Oleh: Fairus Mohd Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 17 FEBRUARI 2022 : Kesedihan di atas pemergian suami, Allahyarham Ahmad Sulaiman, 83, akibat kanser tulang pada Ahad lepas sedikit sebanyak terubat dengan keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyalurkan sumbangan.
Puan Habibah Isa, 78, dari Kampung Acheh, berkata, kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili Kerajaan Pahang ke rumahnya amat dihargai dan disyukuri.
“YB datang hantar bantuan ke makcik.. Makcik rasa syukur sebab bantu makcik apatah lagi pakcik baru saja meninggal. Arwah sakit dah 5, 6 tahun dah, masa sakit baru ni doktor suruh bawa balik.. Lepas 2, 3 hari tu pakcik meninggal.
“Sekarang makcik tinggal dengan seorang anak perempuan. Enam lagi tinggal jauh, semua bekerja anak tinggal dan bekerja jauh tapi Alhamdulillah semua dalam keadaan baik,” katanya.
Bekas Ketua Kampung Tanjung Medang Hilir, Encik Ramli Jusoh, 87, yang menghidap sakit angin ahmar.
Bagi anaknya, Puan Roziah Ahmad, 52, keprihatinan Kerajaan Negeri turut disalurkan kepadanya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Saya tak boleh jalan dengan baik, Kadang-kadang rasa nak tumbang sebab luka di kaki akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak tahun 2015. Sekarang banyak pakai kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana.
“Sekarang saya kerap juga berulang alik ke hospital untuk cuci luka. Terima kasih Menteri Besar Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin sebab sudi bagi bantuan kepada saya dan mak,” katanya.
Kesulitan hidup dialami bekas Ketua Kampung Tanjung Medang Hilir, Encik Ramli Jusoh, 87, yang menghidap sakit angin ahmar turut mendapat perhatian.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada bekas Ketua Kampung Tanjung Medang Hilir, Encik Ramli Jusoh, 87, yang menghidap sakit angin ahmar.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut sempat menziarahinya dan menyampaikan sumbangan dari Persatuan Pengerusi JPKK Dewan Negeri (DN) Bebar.
Walaupun menghadapi kesukaran untuk bercakap secara normal, namun beliau masih mahu menyampaikan penghargaan di atas keprihatinan yang diberikan kepadanya.
“Saya terbaring di rumah dah dua tahun dah. Saya bersyukur dan terima kasih kepada YB Fakhruddin kerana bagi bantuan kepada saya, semoga YB sentiasa sihat dan terus menjadi wakil rakyat. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana membantu saya,” katanya. -PAHANGMEDIA