KUANTAN, 15 FEBRUARI 2022: Kerajaan Pahang telah membatalkan kelulusan pembalakan di Bukit Makro, Maran setelah membuat penelitian berdasarkan analisa pasca banjir dan mengambilkira kepentingan awam.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kelulusan pembalakan itu dibatalkan pada 17 Januari 2022 dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telahpun mengarahkan segala aktiviti prapembalakan di kawasan tersebut diberhentikan.
Beliau berkata, kelulusan untuk pembalakan di Bukit Makro sebelum ini telah pun diluluskan kepada Amanah Saham Pahang (ASPA) seluas 40.47 hektar di atas tanah kerajaan.
“Kawasan yang diluluskan di Bukit Makro tidak berada di dalam kawasan hutan simpan dan semua penilaian terutama yang berkaitan dengan impak alam sekitar telah mendapat kelulusan oleh jabatan-jabatan yang terlibat. Kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut juga masih belum dimulakan oleh pihak pelesen.
“Untuk makluman, hanya kerja-kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama di atas tanah kerajaan sahaja telah dimulakan,” katanya menerusi satu kenyataan media demikian bagi mengulas isu pembalakan di kawasan tersebut yang tular di media sosial, hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, JPNP telah mengarahkan agar ia diberhentikan semasa musim tengkujuh dan kejadian banjir di negeri Pahang baru-baru ini dan selepas pembatalan kelulusan pembalakan itu semua jentera yang terlibat juga telah dikeluarkan dari kawasan tersebut.-PAHANGMEDIA