Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 15 FEBRUARI 2022 : Golongan wanita di negeri ini mempunyai potensi untuk memberi sumbangan yang lebih besar termasuk sebagai sukarelawan melalui aktiviti pendidikan dan latihan kemahiran kepada masyarakat.
Isteri YAB Menteri Besar Pahang, YH. Datin Sri Dato’Hajjah Burhah Mohammed berkata, selain itu golongan wanita memberi pendedahan tentang keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi dan membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan ekonomi dan kekeluargaan.

“Malahan pelbagai bentuk aktiviti dari berbagai sudut boleh diterokai dan saya berharap peranan itu boleh dimainkan oleh oleh semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin; Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Zon Pantai Timur, YH. Dato’ Sri Maznah Mazlan dan Presiden MATAHARI, YH. Datin Dr Mazita Mokhtar.
Sehubungan itu, YH. Datin Sri Dato’Hajjah Burhah berkata, MATAHARI disaran untuk bekerjasama dengan persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) lain baik dari dalam mahupun luar negara untuk meluaskan jaringan perhubungan antara NGO berkaitan wanita.
Beliau berkata dengan cara itu, MATAHARI dapat mempelajari pelbagai ilmu baharu dan berkongsi idea sekali gus membolehkan mereka berkembang maju. – PAHANGMEDIA