Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman melihat keadaan kerosakan jalan di Bentong

48 LOKASI JALAN ROSAK BANJIR MEMERLUKAN PEMBAIKAN BERNILAI RM27 JUTA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan

BENTONG, 14 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang telah mengenalpasti sebanyak 48 lokasi jalan yang mengalami kerosakan akibat banjir yang memerlukan pembaikan pavemen.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, antara jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Kuala Lumpur – Kuantan (FT002), Jalan Karak – Manchis (FT009), Jalan Utama Bera (FT1510) dan Jalan Benta – Jerantut – Maran (FT064).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 17 peratus daripada semua 48 lokasi terbabit sedang di dalam proses perlaksanaan pembaikan.

“Secara umumnya, kerja-kerja pemulihan berjalan dengan baik dan saya tahu ini merupakan masalah yang besar jadi kerajaan telah memperuntukkan satu jumlah yang besar dalam mengatasi masalah ini ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mendengar taklimat perkembangan terkini kerja-kerja pasca banjir untuk infrastruktur jalan raya, lebuhraya dan rumah banjir pada Lawatan Pasca Banjir di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Bentong, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman melihat keadaan kerosakan jalan di Bentong

Pada lawatan kerja itu, YB. Dato’ Sri Norolazali turut melawat ke beberapa lokasi kejadian antaranya runtuhan cerun di Jalan Persekutuan 8 di Bentong dan lokasi kerosakan di Kilometer 69 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) KL-Karak di Bentong Timur.

YB. Dato’ Sri Norolazali berkata, kesemua kerja-kerja membaikpulih itu menelan belanja sebanyak RM27 juta bagi membaiki kerosakan pavemen.

Katanya, permohonan peruntukan untuk semua lokasi jalan yang terjejas akibat banjir telah diangkat untuk semakan dan kelulusan di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download