Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 13 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang akan tetap berusaha untuk menyediakan perumahan kepada rakyat yang memerlukan walaupun terdapat kesukaran mendapatkan tanah yang sesuai pembinaan rumah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu bukan menjadi penghalang untuk Kerajaan Pahang menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat.

“Walau kita sukar dapat tanah (untuk penbinaan rumah Kerajaan Pahang) tapi kita usaha juga dapatkan sebidang tanah untuk kita buat rumah PR1MA Pahang dan juga rumah Makmur.
“Maknanya program perumahan ini sentiasa diteruskan dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang dan Rumah Makmur Bukit Perangin di Mukim Budu, Benta.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lipis, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau berkata, kawasan di Dewan Negeri (DN) Benta ini difahamkan kawasan tanahnya adalah berbukit dan sukar untuk dibuat pembinaan rumah PR1MA Pahang dan rumah Makmur.
“Adalah Dato’ Sri Soffi bagitahu saya yang kita di Benta ini tanah tak berapa ada, tanah Kerajaan Negeri yang ada pun berbukit.
“Tapi saya bagitahu kepada Dato’ Sri Soffi, saya kata kita kena buat (rumah kepada rakyat) walau apa sekali pun (masalah yang ada).
“Kalau bangunan di tengah laut pun boleh buat, takkan rumah di atas bukit kita tak boleh buat. Dan saya bagitahu, saya akan bantu supaya untuk merealisasikan rumah ini akan menjadi kenyataan, dan itulah yang kita buat hari ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang sangat komited dalam pembinaan rumah kepada rakyat di negeri ini kerana ia merupakan satu keperluan.
“Rumah ini satu keperluan asas selain daripada pakaian, makan, minum, kita nak tempat untuk berlindung,” katanya.
Beliau turut menyampaikan Notis 5A Kepada Peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Peruang dan surat penyerahan Tapak Rumah PPRT Kampung Peruang kepada 21 penduduk terlibat. -PAHANGMEDIA