Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 12 FEBRUARI 2022 : Sebanyak 191 menara telekomunikasi baharu akan dibina di Pahang pada tahun ini bagi meluaskan dan menambahbaik perkhidmatan internet dan telekomunikasi di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan 191 menara ini melengkapkan jumlah keseluruhan 270 menara baharu yang telah dirancang di bawah pelaksanaan Fasa 1 JENDELA.

“Untuk makluman, tahun 2020 sebanyak 28 menara dibina dan tahun 2021 sebanyak 51 lagi menara dibina. Tujuh syarikat dilantik kerajaan dalam pelaksanaan ini dimana proses pelaksanaan dibahagikan kepada dua peringkat kerja.
“Peringkat pertama bagi kerja pembinaan infrastruktur menara dan aksesorinya manakala peringkat kedua bagi penyediaan peralatan elektronik dan penyediaan rangkaian perkhidmatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, inisiatif lain dibawah JENDELA di Pahang yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf 902 stesen pemancar, melengkapkan 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik dan menyediakan internet jalur lebar dengan teknologi satelit di 69 Kampung Orang Asli.
Melalui pelaksanaan JENDELA, kadar liputan 4G di Pahang terus meningkat daripada 89.1% (Suku ke 2 2020 – sebelum JENDELA bermula) kepada 92.56% (Suku 4, 2021).
Kadar liputan dijangka akan terus meningkat apabila semua inisiatif JENDELA siap pada penghujung tahun 2022.
Kerajaan Pahang dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang (MMK), memberi komitmen dan sokongan padu terhadap pelaksanaan pelan JENDELA sejak 2020 lagi dan yang terkini YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail telah bersetuju memberi keutamaan kepada tanah milik kerajaan negeri sebagai tapak untuk membina menara baru. – PAHANGMEDIA