Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 12 FEBRUARI 2022 : “Pak cik gembira sangat, bersyukur sangat dapat ini (Kad Kesihatan Warga Emas) dengan keadaan pak cik macam ni. Tak terkata,” ujar seorang penerima Kad Kesihatan Warga Emas sambil mengesat air mata kerana gembira selepas menerima kad berkenaan daripada YAB Menteri Besar Pahang.
Encik Amsah Ibrahim, 75, dari Kampung Bertang yang merupakan salah seorang penerima Kad Kesihatan Warga Emas (Pahang Pride Kasih) beberapa kali mengalirkan air mata dan menahan sebak ketika melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang.
“Pak cik sakit lutut dah tiga tahun, tulang lutut beralih, kaki jadi bengkok. Nak operate baiki (kaki yang sakit) tak mampu, mahal sangat.
“Dengan kad ini dapatlah pak cik pergi klinik buat rawatan. Terima kasih banyak Menteri Besar dan Kerajaan Pahang bagi kad macam ni dekat pak cik,” katanya.
Encik Amsah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai Kali Ke-8 dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Encik Azhar Ooub, 59, yang mewakili ibunya Puan Maimunah Mat Akhir, 79, berkata kad yang diterima itu sangat membantu bagi kegunaan ibunya.
“Sebelum ini kalau nak pegi temujanji hospital, adik bawak mak ke Kuala Lumpur sebab dia (adik) duduk dekat sana (Kuala Lumpur).
“Ini dah dapat kad ni, bolehlah bawa mak ke klinik swasta yang ada di Lipis ini. Terima kasih Kerajaan Pahang bagi kad ini. Bolehlah guna untuk mak saya,” katanya yang tinggal di Kampung Bertang.
Kerajaan Pahang telah melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin pada 18 Januari lepas.
Pelancaran kad ini adalah bukti Kerajaan Pahang amat prihatin dengan kebajikan warga emas bersasar di negeri ini di mana seramai 18,000 orang penerima akan menerima kad bagi mendapatkan rawatan prosedur am di klinik-klinik swasta terpilih di seluruh negeri ini. -PAHANGMEDIA