Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LIPIS, 12 FEBRUARI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang menyarankan Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat dilakukan secara berterusan meliputi lebih banyak kawasan.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi menampakkan kesungguhan program ini dalam membantu masyarakat yang terjejas.
“Alangkah baiknya jika program ini dibuat dalam masa tiga bulan dua kali contohnya atau pun tiga kali. Itu baru kita betul-betul serius untuk membantu rakyat.

“Sebabnya kalau kita ingin membantu rakyat, kita kena buat sungguh-sungguh. Kita jangan buat separuh jalan.
“…kalau boleh supaya ianya diteruskan di masa-masa yang akan datang dan meliputi semua tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian penutup Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat di Dataran Kedai Agropolitan Tanjung Gahai di sini.
Beliau berkata beliau faham akan berlaku implikasi kewangan sekiranya program ini dijalankan secara berterusan, namun ianya dapat memberi bantuan kepada rakyat.
“Dan rakyat yang kita bantu pada hari ini, adalah rakyat yang terkesan, dan bantuan kita pun bersasar.

“Contoh hari ini di Agropolitan yang mana merupakan kawasan luar bandar. Di mana penduduknya mungkin terjejas semasa pandemik COVID-19. Dan ini salah satu cara yang saya fikir boleh membantu rakyat yang duduk di luar bandar.
“Kita harap perkara ini dapat dipanjangkan. Kita tak nak ianya bermusim, contohnya bulan Februari buat, tiba-tiba tiga tahun dari sekarang pula baru buat jualan PEMULIH. Kesungguhan untuk bantu rakyat itu tidak nampak,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian geran bantuan pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada KOPEGA Berhad. -PAHANGMEDIA