YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang peserta ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, hari ini.

KERAJAAN PAHANG LULUS 14 HEKTAR TANAH BAGI KEGUNAAN PPK JELAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 11 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang telah meluluskan tanah seluas kira-kira 14 hektar bagi kegunaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kelulusan ini dibuat bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan penternakan di kawasan ini.

“Kelulusan tanah ini melibatkan tanah Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai di Sungai Ular, tanah bangunan kedai di kampung Raja Cameron Highlands seluas dua ekar, dan tanah pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai seluas 32 ekar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, hari ini.

“Saya berharap dengan kelulusan permohonan tanah ini, Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai dapat membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan penternakan sekaligus membantu meningkatkan hasil pendapatan peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai Kali Ke-8 dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak.

Beliau turut berharap pertubuhan PPK Jelai inj dapat menjadi medium kepada petani dan penternak bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“…besarlah harapan saya agar Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai ini akan menjadi satu platform atau medium kepada golongan petani dan penternak dalam meningkatkan taraf hidup serta jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

“Urus dan majukanlah pertubuhan ini dengan telus, ikhlas dan bersungguh-sungguh demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, hari ini.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan RM17.09 juta pada tahun ini khusus kepada penternak dan pengusaha industri hiliran.

“Pada Belanjawan 2022 yang saya bentangkan pada 6 Disember 2021 lalu, Kerajaan Negeri memperuntukan RM17.09 juta pada tahun 2022 khusus dalam bentuk pelbagai program dan insentif kepada warga penternak dan industri hiliran sebagai sokongan Kerajaan Negeri kepada kumpulan sasar ini.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM10,000 setiap seorang sebagai geran pemula kepada 90 orang Agropreneur Muda.

“Usaha-usaha ini diharap menjadi suntikan semangat kepada warga penternak dan usahawan hiliran yang berkaitan untuk sama-sama bangkit memperkasakan ekonomi negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download