Ketua Srikandi Bersatu Maran, Siti Nora Mohammad Noor bersama lebih 30 ahli menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

SRIKANDI BERSATU MARAN LUMPUH, KETUA DAN AHLI KELUAR PARTI

Oleh : Shahrinnahar Latib
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan & Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi

KUANTAN, 9 FEBRUARI 2022 : Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran termasuk ketuanya lumpuh selepas lebih 30 ahli parti itu mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO, hari ini.

Ketua Srikandi Bersatu Maran, Siti Nora Mohammad Noor bersama lebih 30 ahli menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Ketua Bahagian UMNO Maran, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Siti Nora ketika ditemui pemberita berkata, segala keputusan dan tindakan yang dilakukan itu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju parti Bersatu.

“Selain itu, kelemahan yang terserlah oleh kepimpinan parti sama ada di peringkat bahagian, negeri dan peringkat pusat. Dengan keputusan ini juga, kira-kira 100 ahli Bersatu Maran lagi dijangka mengumumkan keluar parti,” katanya.

Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau amat berbesar hati serta menghormati keputusan mereka malah UMNO sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti terbesar Melayu itu.

Siti Nora Mohammad Noor

“Mereka menyatakan keyakinan dan kepercayaan bahawa UMNO mampu mentadbir negara ini dengan baik termasuk dari segi meningkatkan kembali keupayaan ekonomi negara.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya ingin menyatakan rasa syukur kerana hasil kerja dan fokus Kerajaan Negeri Pahang dalam memajukan negeri serta membela kebajikan rakyat termasuk di musim bencana dan pandemik COVID-19 dihargai dan dipandang oleh rakyat.

“Meskipun ada pihak tertentu cuba menanam kebencian rakyat terhadap Kerajaan Negeri, namun majoriti rakyat masih rasional dan bijak menilai inisiatif, pendekatan dan gerak kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download