Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 8 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang optimis untuk mencapai sasaran hasil kutipan negeri sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022 selepas tahun 2021 menunjukkan hasil kutipan yang memberangsangkan melebihi sasaran yang ditetapkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keyakinan ini berdasarkan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh penjawat awam di negeri ini dalam melaksanakan tugasan mereka.
“Saya mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua penjawat awam di negeri ini kerana berjaya menjalankan tanggungjawab dalam mengharung cabaran dan rintangan yang bukan sahaja diuji sebagai manusia, ketika pandemik COVID-19 dan bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Penjawat Awam di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di Kuantan, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut mengajak semua penjawat awam supaya lebih komited menjalankan tugas yang diamanahkan, proaktif dalam melaksanakan inisiatif dan pendekatan baharu serta memperkemas sistem penyampaian.
“Penjawat awam juga perlu memastikan bahawa bentuk komunikasi yang berkesan kepada rakyat dapat dilaksanakan selain menjalin kerjasama erat antara agensi dan mewujdukan muafakat demi mencapai keputusan yang tepat dalam mentadbir negeri ini selain menerapkan sifat jujur, berintegriti dan tidak mengkhianati organisasi masing-masing,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperkenalkan Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Pahang buat julung kalinya sebagai menghargai sumbangan dan peranan oleh penjawat awam termasuklah pencapaian jabatan, agensi, Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun di Pahang.
“Penentuan kriteria pemilihan sedang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia dan akan dimuktamadkan pada Mac depan dan salah satu Anugerah yang akan diperkenalkan ialah Anugerah Khas Menteri Besar Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA