Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 8 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Negeri sentiasa komited dan mengambil tahu tentang setiap permasalahan yang dihadapi rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, usaha sedaya upaya dilakukan untuk memastikan masalah serta kebajikan rakyat dapat diberikan bantuan sebaiknya.
“Contohnya mereka yang menghidap sakit kronik, kita akan beri bantuan sewajarnya… termasuk juga rumah yang ditimpa bencana, Kerajaan Negeri akan sentiasa mencari jalan terbaik untuk membantu di mana setiap masalah rakyat ini diteliti sebaik-baiknya.
“Selain itu, seperti hari ini kita beri bantuan kepada sekolah sebagai usaha untuk memastikan kecemerlangan dapat dicapai sekolah tersebut dan dengan bantuan tersebut ia dapat dicapai lebih cepat lagi.

“Kita harapkan kemampuan kita pada hari ini dapat diteruskan agar segala bantuan kepada rakyat dapat diperhebatkan dari semasa ke semasa. Dengan perbelanjaan yang lebih baik, hasil kerajaan negeri yang lebih baik, pertambahan pendapatan dapat diberikan balik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Pahang untuk melengkapkan peralatan studio mini bagi Sekolah Kebangsaan Langgar di Pekan, semalam.
Sementara itu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Langgar, Puan Nor Akilin Mohd Lazim yang hadir mewakili sekolahnya berkata, usaha melengkapkan studio mini di sekolah ini diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang mampu bergelar juara dalam pertandingan-pertandingan secara maya.
“Mini studio ini kami gunakan untuk rakam pertandingan yang disertai pelajar contohnya baru-baru ini dalam pertandingan public speaking, seorang dari pelajar kami berjaya mewakili Pahang ke peringkat Kebangsaan dan memperoleh tempat kelima.
“Itu (pencapaian) dalam keadaan studio yang tidak begitu kondusif dan lengkap. Jadi kami berharap agar dengan bantuan Kerajaan Negeri ini dapat naiktaraf studio mini kami agar dapat melatih pelajar dengan lebih baik lagi.
“Saya mewakili SK Langgar ingin mengucapkan Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang terutamanya kepada YAB Menteri Besar Pahang atas sumbangan ini dengan harapan kami boleh melahirkan lebih ramai pelajar yang boleh mengikuti pertandingan secara maya,” katanya.- PAHANGMEDIA