Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada Masjid dan Surau Yang Terjejas Banjir Tahun 2021/2022 di Masjid Kampung Lechar, di Raub

DUIT BANTUAN DAPAT TAMPUNG BELANJA BAIKI MASJID

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 07 FEBRUARI 2022 : “Alhamdulillah duit ni dapatlah tampung belanja untuk baiki masjid kami yang rosak sebab banjir,” kata Pengerusi Masjid Kampung Binjai, Encik Wan Nizamuddin Wan Ibrahim.

Beliau berkata separuh bangunan masjid di kampungnya telah ditenggelami air mengakibatkan kerosakan teruk barang-barang yang ada.

“Semua barang rosak. Karpet, PA sistem, perabot dan lain-lain barang habis rosak sebab masjid separuh tenggelam masa banjir baru-baru ini.

“Jadi dengan sumbangan Kerajaan Pahang hari ini sebanyak RM10,000 ini rasa suka hati, rasa gembira sangat kerana dapat tampung beli mana barang yang rosak.

“Sebelum ini Kerajaan Pahang ada bagi RM15,000 kepada masjid kami ini dan kami dah guna untuk baiki benda-benda penting, tapi banyak lagi nak kena buat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada Masjid dan Surau Yang Terjejas Banjir Tahun 2021/2022 di Masjid Kampung Lechar, di Raub

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Kepada Masjid dan Surau Yang Terjejas Banjir Tahun 2021/2022 di Masjid Kampung Lechar, di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Ali.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Budu, Lipis, Encik Kamaruzaman Kamaludin melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pahang diatas sumbangan ini.

“Saya mewakili jawatankuasa masjid dan penduduk Kampung Budu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Pahang, terutamanya kepada YAB Menteri Besar Pahang dan YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim diatas pemberian sumbangan sebanyak RM9,500 ini.

“Kami bercadang untuk ganti semula duit tabung masjid sebanyak RM6,000 yang telah digunakan bagi mencuci karpet masjid yang ditenggelami air banjir, dan bakinya kami akan gunakan untuk mengganti peralatan lain yang masih belum mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim pernah berkunjung ke Masjid Jamek Kampung Budu pada bulan lepas bagi melihat sendiri keadaan masjid.

“Bulan lepas, Dato’ Sri Syed Ibrahim ada datang tengok masjid, tanya apa masalah dan bantuan yang diperlukan, dan Alhamdulillah hari ini kami dah dapat bantuan yang lebih dari yang kami minta,” katanya.

Menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim, sebanyak RM1.189 juta melibatkan sumbangan Kerajaan Negeri dan MUIP telah diperuntukkan bagi sumbangan kepada 95 masjid dan surau yang terjejas banjir di negeri ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download