Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi, Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan, Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi
KUANTAN, 5 FEBRUARI 2022 : Perlaksanaan Pahang Pride Kid 2022 memberikan kegembiraan berganda buat ibu bapa yang bukan sahaja teruja menerima cahaya mata baharu di dalam keluarga mereka malah turut diraikan oleh Kerajaan Pahang.
Bagi pasangan guru, Encik Azreil Shazwan Yahya, 35, bersama isterinya, Puan Nurul Ashikin Zakariya, 35, kehadiran anak ketiga mereka, Aurora Khadeeja Azreil Shazwan, adalah sangat istimewa kerana serentak dengan perlaksanaan Pahang Pride Kid 2022 di seluruh Pahang ketika ini.

Dilahirkan pada 4 Januari 2022 di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, kehadiran Aurora Khadeeja benar-benar memberi kegembiraan apabila keterujaan menerima kehadiran ‘orang baru’ yang turut dikongsi bersama orang ramai khususnya pemimpin setempat yang turut meraikannya.
“Rasa bersyukur dan berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana kerana melancarkan Program Pahang Pride Kid ini, jadi beruntunglah anak saya ini dilahirkan pada tahun 2022 dapat merasa sumbangan yang diberikan ini, jadi saya rasa sangat berbanggalah dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Encik Azreil Shazwan pula berpendapat inisiatif kerajaan negeri ini adalah sangat bermanfaat bagi mendidik ibu bapa agar membuat simpanan untuk anak yang masih kecil dengan memberikan sumbangan wang simpanan di dalam akaun bank di samping barangan keperluan ibu dan bayi.

Justeru, beliau sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan di atas perlaksanaan program seumpama ini.
“Saya berterima kasihlah kepada Kerajaan Pahang atas program ini, ye lah, siapa nak bagi kan, bila saya dengar YAB Menteri Besar Pahang umum akan melancarkan program ini, saya kepada orang rumah, insyaa Allah kalau ada rezeki anak lahir tahun 2022, ada lah,” katanya.
Pemberian Pahang Pride Kasih 2022 telah disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Haji Shafik Fauzan Shariff di kediaman pasangan itu di Perumahan Makmur Hijrah Jaya, di Kuantan.

Hadir sama ialah Naib Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Encik Nara Nikman Nordin; Ketua Pemuda UMNO Kuantan, Encik Md Jamil Pauzi dan Ketua Puteri UMNO Kuantan, Cik Fadwan Dato’ Anuwar.
Pahang Pride Kid 2022 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan jumlah peruntukan RM5 juta yang akan diberikan kepada 25,000 ibu dan bayi yang dilahirkan di Pahang sepanjang tahun 2022.
Setiap kelahiran bakal menerima barangan keperluan ibu dan bayi berjumlah RM100 manakala RM100 lagi diberikan dalam bentuk wang simpanan. – PAHANGMEDIA