YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada seorang Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Rumah Sejahtera Bentong.

WARGA EMAS HARGAI KEPRIHATINAN MENTERI BESAR PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 5 FEBRUARI 2022 : Keprihatinan yang dizahirkan YAB Menteri Besar Pahang terhadap golongan warga emas di negeri ini diterima dengan rasa syukur dan gembira.

Kehadiran beliau sempena jamuan petang sambutan Tahun Baru Cina, kelmarin juga turut menggembirakan ahli-ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Rumah Sejahtera Bentong, di sini.

Bagi Puan Chuang Pay Wah, 66, bantuan yang diberikan termasuk kad kesihatan warga emas yang dilancarkan baru-baru ini menjadi antara bukti kasih sayang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap mereka.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai bantuan yang diberikan oleh Menteri Besar Pahang. Saya juga pernah menerima bantuan sebanyak RM3,000 daripada beliau bagi membantu rawatan sakit jantung yang saya hidapi.

“Saya gembira kerana beliau datang ke sini (Bentong) untuk bertemu warga emas dan menghulurkan sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Rumah Sejahtera Bentong.

Seorang lagi warga yang juga ahli jawatankuasa PAWE Bentong, Encik Ismail Lew, 63, berkata, sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih meriah dengan kehadiran Menteri Besar Pahang ke tempat mereka.

“Terima kasih atas sumbangan dan keprihatinan MB yang sudi melawat dan bertanya khabar ahli-ahli PAWE Bentong dan Rumah Sejahtera Bentong.

“Saya dan isteri Martiana Mat Tin, 40, juga gembira dapat bersama-sama dalam majlis ini dan melihat semua ahli juga gembira apabila diraikan dan terasa dihargai,” katanya.

Seorang lagi ahli, Puan Hajah Maimon Md yatin, 67, turut berkongsi rasa gembira dapat bertemu Menteri Besar Pahang pada majlis berkenaan dan menghargai sumbangan yang dihulurkan.

“Saya dan rakan-rakan di sini gembira dan tidak sangka MB nak datang sini. Terima kasih kepada MB dan semua yang datang ke sini melawat warga PAWE Bentong.

“Kita menerima nasihat yang disampaikan dan memang di PAWE ini setiap warga emas sentiasa berusaha menyihatkan badan dengan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di sini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download