Antara kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program PICKids yang bermula semalam. Foto: JKJAV

27,864 KANAK-KANAK DI PAHANG TELAH DAFTAR SEBAGAI PENERIMA VAKSIN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 4 FEBRUARI 2022 : Sehingga 3 Februari 2022, seramai 27,864 kanak-kanak di Pahang telah mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tersebut adalah 14.1 peratus daripada 197,700 orang kanak-kanak di seluruh Pahang yang telah didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing sebagai ‘dependent’ menerusi sistem mySejahtera.

“Suntikan bagi PICKids di Pahang akan bermula pada 7 Februari 2022 yang akan dimulakan di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan yang disasarkan kepada kumpulan kanak-kanak comorbid yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya kepada media, semalam.

Antara kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program PICKids yang bermula semalam. Foto: JKJAV

Beliau berkata, sebanyak 78 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 akan dibuka yang melibatkan 11 SPPV, 60 Klinik Kesihatan (KK) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) serta tujuh PPV Offsite akan menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin COVID-19 ini.

Jelasnya, jumlah PPV ini berkemungkinan akan bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada liputan vaksinasi kanak-kanak di negeri ini.

Dato’ Dr. Nor Azimi berkata, pihaknya juga sedang memperhalusi beberapa PPV outreach di sekolah-sekolah bagi tujuan memudahkan proses pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak.

“Buat masa ini, satu jenis vaksin sahaja yang ditawarkan dalam PICKids iaitu Corminaty (Pfizer-BioNTech) untuk dos kanak-kanak,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download