Antara kerosakan akibat Vandalisme yang didapati berlaku di Kuantan Art Street.

JAGA HARTA AWAM, ELAK VANDALISME

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi

KUANTAN, 3 FEBRUARI 2022 : Orang ramai khususnya pengunjung yang mengunjungi Kuantan dinasihatkan supaya dapat menjaga harta awam terutama di lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan umum di sekitar daerah ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, meskipun Kuantan telah diiktiraf sebagai bandaraya setahun yang lalu namun sikap dan budaya vandalisme masih berleluasa hingga menyebabkan usaha bagi mengindahkan bandaraya ini tidak dapat dikekalkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Husin

“Secara jujurnya pihak MBK berasa kecewa dan sedih apabila melihat budaya vandalisme yang berlaku di Kuantan Art Street, malah usaha mengindah dan menceriakan sekitar bandaraya juga seolah tidak dihargai pengunjung mahu pun pemilik bangunan.

“Sekiranya Mural dan Art Street di tempat lain dapat kekal cantik dan bersih mengapa di Kuantan tidak sebegitu?,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Jelasnya, inisiatif dan usaha yang dilakukan oleh MBK bertujuan menarik pengunjung selain dapat meningkatkan ekonomi setempat sekaligus menyediakan peluang pendapatan kepada peniaga di kawasan seliaan MBK.

Antara kerosakan akibat Vandalisme yang didapati berlaku di Kuantan Art Street.

“Vandalisme dan kurang prihatin akan membawa imej yang buruk kepada Kuantan sebagai bandaraya pelancongan malah terdapat juga dinding dan lantai yang ditebuk untuk dipasang saluran air dan kumbahan dan keadaan ini merosakkan hasil seni di Kuantan Art street,” katanya.

Pihak MBK akan segera menjalankan kerja pembersihan dan pembaikan di lokasi berkenaan bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan Bandaraya Kuantan terutama ketika musim cuti persekolahan ketika ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download