Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Negeri Kerdau ketika melawat adik Mohd Syafiq Abdullah di Kerdau.
KISAH ADIK MOHD SYAFIQ DAPAT PERHATIAN YAB MENTERI BESAR
KUANTAN, 29 JANUARI 2022 : Kisah adik Mohd Syafiq Abdullah di Kerdau yang terpaksa menjalani dua kali pembedahan akibat menghidap penyakit angin pasang mendapat perhatian YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
YAB Menteri Besar Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Negeri Kerdau menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga adik Mohd Syafiq.
Menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini berkata selain itu, pihaknya turut menyampaikan sumbangan derma daripada orang ramai termasuk penduduk setempat selain barang-barang keperluan lain.
Jelasnya lagi, akibat daripada penyakit yang dihadapi oleh adik Mohd Syafiq menyebabkannya hilang selera makan, menjadi kurus dan tidak selesa serta sering menangis.
“Ini menyebabkannya terpaksa melalui dua kali pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), walaupun ketika itu baharu berusia sebulan,” katanya.
Beliau berkata, adik ini juga pernah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) pada Disember lalu dengan meredah banjir oleh penduduk setempat.
“Bagaimanapun kini adik Syafiq telah sihat dan pandai senyum serta minum susu seperti bayi yang lain,” katanya. – PAHANGMEDIA