Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 JANUARI 2022 : Seramai 140 buah keluarga golongan kurang bernasib baik di Pantai Timur menerima sumbangan barangan asas daripada PETRONAS sempena Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Kanan PETRONAS Pantai Timur, Encik Azeman Said kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Menurut Azeman, sumbangan ini merupakan salah satu komitmen berterusan PETRONAS untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
“Sejumlah 1,460 buah keluarga kurang berkemampuan dan sembilan rumah anak-anak yatim diraikan oleh Yayasan PETRONAS melalui siri Program Sentuhan Kasih di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara melibatkan perbelanjaan berjumlah RM355,400.
“Program Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina tahun ini menyasarkan kumpulan masyarakat B40 dan anak-anak yatim. Ia diharap dapat membantu membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan 55 orang anak-anak yatim, anak-anak terabai serta anak-anak yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan yang menghuni rumah kebajikan Rapha Children’s Home, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengerusi Rapha Children’s Home, Encik Alex Chow.
Dalam majlis sama, rumah kebajikan tersebut menerima sumbangan kit perlindungan diri seperti kit pertolongan cemas, selimut pencegah kebakaran (Fire Blanket), termometer, oksimeter dan kit ujian kendiri COVID-19 selain kit sanitasi. – PAHANGMEDIA