YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan cek sumbangan Kerajaan kepada , Cik Nurdinie Husna Nor Azman, 21.

KERAJAAN PAHANG BANTU RINGAN BEBAN LANJUT PELAJARAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JANUARI 2022 : Bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Sungkyunkwan, Korea pada bulan depan, Cik Winnie Annuar, 20, berterima kasih dengan sumbangan yang dihulurkan Kerajaan Negeri.

Cik Winnie Annuar, 20.

Anak Orang Asli berasal dari Sungai Soi, Kuantan ini menyifatkan keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang meringankan beban terutamanya dari segi persediaan berkaitan pembelajaran.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan permohonan saya untuk mendapatkan sedikit dana untuk tujuan melanjutkan pelajaran.

“Ia menguatkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh tambahan lagi berada di negara asing,” katanya.

Winnie merupakan salah seorang daripada 20 orang penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri bagi pelbagai tujuan termasuk bantuan pembelian komputer, rawatan penyakit, pengurusan pentadbiran JPKK, bantuan rumah terbakar dan sebagainya.

Puan Norlia Saruni, 48.

Majlis ringkas penyampaian cek sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Bagi Puan Norlia Saruni, 48, hanya ucapan terima kasih yang mampu disampaikan kepada seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat di negeri ini.

“Saya hadir mewakili anak saya Nur Fariha Izzati Bazli, 22, untuk menerima cek sumbangan bernilai RM2,500 bagi pembelian laptop.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar Pahang kerana membantu meringankan beban saya dan suami dalam menampung keperluan pembelajaran anak yang kini berada di UiTM Shah Alam,” katanya.

Seorang lagi penerima yang merupakan penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Cik Nurdinie Husna Nor Azman, 21, turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

Cik Nurdinie Husna Nor Azman, 21.

Dia yang tinggal di Kuala Rompin melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan.

“Bantuan ini beri peluang kepada saya untuk beli laptop baru seterusnya memudahkan sesi pembelajaran atas talian.

“Terima kasih kerana prihatin dan sentiasa membantu terutamanya perkara yang melibatkan kepentingan pelajar di negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download