Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 JANUARI 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengambil inisiatif memberikan hadiah utama berupa Perodua Myvi dan Axia selain hadiah istimewa lain kepada pemenang utama cabutan bertuah pembayar cukai taksiran am di bawahnya tahun ini.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, cabutan bertuah pada tahun ini juga adalah sempena genap setahun Kuantan diangkat menjadi bandar raya.

“Bagi merebut peluang cabutan hadiah utama iaitu kereta jenis Perodua Myvi dan Axia, mereka perlu menjelaskan keseluruhan bayaran cukai taksiran bagi tahun 2022 sebelum atau pada 30 Jun 2022.
“Ia (cabutan bertuah) pernah diadakan kali terakhir pada tahun 2017, dan sempena genap setahun Kuantan menjadi bandar raya, MBK mengambil inisitif untuk mengadakan semula cabutan nombor bertuah ini pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata penyertaan adalah terbuka kepada semua pemegang akaun cukai taksiran am MBK selain perlu bebas dari sebarang bentuk tunggakan berdasarkan semakan sistem i clean.
“Penyertaan adalah tertakluk kepada pemegang akaun cukai taksiran am yang telah menjelaskan semua tunggakan cukai taksiran termasuk tuntutan cukai bagi setengah tahun pertama dan kedua tahun 2022.
“Pemberian cabutan bertuah kepada para pembayar cukai taksiaran am MBK ini merupakan satu galakan kepada semua pembayar cukai agar terus menunaikan tanggungjawab mereka, selain tanda penghargaan kepada mereka yang telah pun membuat pembayaran cukai.
“Tempoh penyertaan bermula 3 Januari hingga 30 November 2022 bagi mereka berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah istimewa,” katanya.
Beliau berkata pihak MBK juga akan meneruskan acara seperti ini pada tahun hadapan bergantung kepada keadaan dan kedudukan kewangan MBK.
Sebarang pertanyaan berkenaan program ini boleh menghubungi talian 09-5052651/2652 pada waktu pejabat. -PAHANGMEDIA