KUANTAN, 23 JANUARI 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari bermula semalam.
Datuk Pengelola Dijaya Diraja Istana Negara, YH Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang telah dijalani oleh Seri Paduka Baginda di IJN pada bulan September 2020.
Beliau berkata, pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan MRI menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lalu Baginda ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekoran daripada pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di hospital-hospital awam termasuk IJN,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.
Dato’ Indera Ahmad Fadil berkata, pada masa sama, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.
Beliau juga berkata, kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.
“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.-PAHANGMEDIA