Majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMP yang diwakili Pemangku Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin dengan Pengurus Besar YASA, Dato Hj Abdul Munir Abdul Basit yang disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.

UMP JALIN KERJASAMA STRATEGIK PENDIDIKAN BERSAMA YAYASAN AL-SULTAN ABDULLAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi


KUANTAN, 22 JANUARI 2022 : Kolaborasi strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah atau YASA dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan komuniti bakal memantapkan lagi usaha penghasilan pelajar berkualiti di negeri ini.

Ia dimetrai dengan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMP yang diwakili Pemangku Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin dengan Pengurus Besar YASA, Dato Hj Abdul Munir Abdul Basit yang disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin

Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMP adalah sebuah universiti yang fokus dalam bidang pendidikan teknikal yang berkualiti tinggi dengan menawarkan program-program akademik yang cemerlang melalui persekitaran yang kondusif bagi melahirkan pelajar-pelajar yang kreatif dan berinovasi.

“Dengan kepakaran dan kemudahan fasiliti yang ada, UMP dapat menyediakan saluran khas kemasukan kepada peserta Akademi Menara Gading (AMG) untuk mengikuti pelbagai bidang pengajian di UMP.

“Manakala pihak YASA akan memberi peluang untuk pelajar UMP menjalani latihan industri di Akademi YASA-MUIP dan premis lain di bawah tanggungjawab YASA,” katanya.

Selain daripada itu beliau berkata, kerjasama ini bakal mewujudkan Vision of Future Innovator bersama Pusat Diploma dan Asasi, UMP serta Program Inovator Masa Hadapan (Future Innovator Programme).

“Program jangka pendek ini akan melibatkan seramai 30 orang pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf, Orang Asli dan mualaf meliputi pelajar tingkatan 4 dan 5 selain program jangka panjang yang melibatkan penyertaan pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 5.

“Kita juga maklum bahawa pihak YASA bersedia menyediakan data-data pelajar yang akan terlibat pagi program-program yang akan dijalankan oleh UMP.

“Kerjasama ini turut melibatkan pelaksanaan Program Kerjasama Komuniti Kerjasama dengan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, UMP,” katanya.

Menurutnya, antara program yang dijalankan adalah program pendidikan dan latihan anak-anak mualaf serta anak Orang Asli dan program bersama komuniti luar bandar.

“Dari segi penyelidikan, kerjasama ini melibatkan penyelidikan dan penerbitan dalam pembangunan pendidikan komuniti yang kurang bernasib baik (underprivileged community), luar bandar, Orang Asli dan mualaf.

“Dalam program ini sebanyak RM 20,000 disumbangkan pihak UMP Advanced kepada pihak YASA di mana sumbangan disampaikan Pengerusi UMP Advanced, YH Dato Mohd. Sharil Abdullah,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download