Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 21 JANUARI 2022 : Seramai 114 orang penerima daripada kawasan Dewan Negeri Pulau Tawar dan Damak di Jerantut telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM28,500.
Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah.
Menurutnya, setiap penerima telah mendapat bantuan berjumlah RM250 sebagai bayaran bantuan bagi membantu meringankan beban penduduk yang memerlukan bantuan.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama kerajaan pimpinannya yang sangat prihatin terhadap keperluan rakyat dengan menjaga kepentingan mereka,” katanya.
Majlis penyampaian tersebut telah disampaikan di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau di di Pejabat Dewan Negeri Pulau Tawar, Jerantut, semalam.
Pada majlis sama turut disampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kepada Penerima Bantuan Khas Miskin Tegar bagi Daerah Jerantut.
YB. Dato’ Haji Nazri turut berkesempatan menziarahi beberapa penduduk yang sakit di Felda Kota Gelanggi 1 dan FELDA Jengka 13 selain berkunjung ke program gotong-royong yang diadakan penduduk di FELDA sama. – PAHANGMEDIA
Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 26 OKTOBER 2020: Kekuatan penugasan pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) telah ditambah bagi memantapkan lagi usaha permantauan dan pemeriksaan di lokasi awam dan tumpuan ramai.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, selain itu, penugasan sekatan jalan raya (SJR) turut dilakukan meliputi sempadan daerah dan negeri.
“Pertambahan anggota ini dapat melicinkan usaha pemantauan yang dilakukan setiap hari malah memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
“Tindakan kompaun sentiasa menanti mereka yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.
Sementara itu, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, sebanyak 26 buah premis dan dua individu dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemantauan yang dilakukan semalam.
Menurutnya, sebanyak 86 buah pasukan melakukan 1574 pemantauan di kawasan tumpuan awam termasuk tempat riadah, terminal bas dan teksi serta pasar awam atau pasar tani.
“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan di premis perniagaan, kilang, bank, tempat ibadah serta tapak pembinaan di sekitar negeri Pahang.
“Nasihat dan amaran juga telah diberikan kepada orang awam agar terus mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,362 orang telah ditahan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga PKPP yang berlangsung sehingga semalam.
“Seramai 586 orang telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh sama dan dikenakan denda di atas keingkaran mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA