KUANTAN, 19 JANUARI 2022 : Penjawat awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan agenda Kerajaan Pahang dapat dilaksanakan dengan jaya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru beliau mengharapkan komitmen berterusan daripada penjawat awam dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan kualiti pekerjaan mereka.
“Bagi Kerajaan Negeri kita mengharapkan bahawa penjawat awam ini berfungsi dengan sebaik-baik mungkin dan semaksimum mungkin.

“Kerana ianya melibatkan kepada rakyat. Jika tuan-tuan tidak membawa mesej atau hasrat kerajaan, dan sedikit sebanyak terpalit kepada kerajaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang di sini malam tadi.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Barisan Exco Kerajaan Pahang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim
Dalam majlis itu seramai 54 kakitangan dan pegawai SUK Pahang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020, 38 penerima menerima Anugerah Khas SUK dan 11 penerima Sijil Penghargaan Bagi 25 Tahun Perkhidmatan.
Sementara itu, turut diraikan adalah 17 pesara pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA